Soto tawar khidmat kepada pasukan tempatan


 "Saya sudah pulih 100 peratus dan mahu kembali ke Malaysia," demikian mesej disampaikan oleh pemain pertahanan import, Gonzalo Soto yang sedia menawarkan khidmatnya kepada mana-mana kelab bola sepak di negara ini menjelang musim 2018.
Soto, 27, dari Argentina yang terpaksa diketepikan PKNS FC pada pertengahan musim ini akibat kecederaan lutut kiri mengakui amat merindui suasana bola sepak Malaysia hingga memberi keutamaan untuk beraksi di sini berbanding negara lain.
Dengan rekod 14 gol dalam 86 perlawanan bersama PKNS sejak menyertai kelab itu pada 2016, Soto pernah beraksi pada final Piala FA serta dua kali suku akhir Piala Malaysia.
"Ia rekod yang jelas mengenai kemampuan saya sebagai pemain. Saya yakin dapat melakukan lebih baik daripada itu jika tidak kerana kecederaan musim ini.
"Tapi sekarang saya sudah pulih serta bersedia untuk kembali beraksi di Malaysia. Saya membuka pintu kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya musim depan.
"Kalau ada yang masih ragu-ragu dengan tahap kecederaan atau kecergasan saya, mereka boleh melakukan ujian ke atas saya," katanya.
Soto berkata, walaupun sudah enam bulan terpisah daripada bola sepak Malaysia apabila pulang untuk mendapatkan rawatan di negaranya, namun dia tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan sukan itu.
"Ini kerana apabila meninggalkan PKNS, saya bertekad untuk kembali bermain di sini bila pulih daripada kecederaan. Saya sukakan bola sepak Malaysia yang sangat meriah," ujar Soto.
Malah pemain yang mempunyai ketinggian 1.90 meter itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali memperkasakan bahagian pertahanan PKNS jika ditawarkan.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang bersama mereka, cuma diketepikan kerana kecederaan. Kalau mereka berminat, saya sedia kembali ke pangkuan kelab itu.
"Tapi saya dengar mereka akan mendapat jurulatih baharu. Jadi, saya tidak tahu sama ada beliau berminat terhadap saya atau tidak.
"Saya harap ada pasukan di Malaysia yang mahu menggunakan tenaga saya. Saya akan menunggu sebelum menentukan arah haluan seterusnya," ujar Soto.
www.bharian.com.my
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==